Sukatan Pelajaran PDF Print E-mail
Written by admin   
Saturday, 28 June 2008

 Sukatan Pelajaran      



Sukatan pelajaran Silat Seni Gayong diajarkan secara sistematik mengikut tingkatan bengkung tertentu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Guru-gurulatih Silat Seni Gayong Malaysia.

 

Peringkat pertama pelajaran Silat Seni Gayong dinamakan TAPAK. Ia dibahagikan pula kepada dua bahagian iaitu pelajaran Tapak Gayong dan pelajaran Seni Tapak Gayong.

 

Dalam pelajaran Tapak, murid Gayong diajar cara memanfaatkan senjata-senjata asli pada anggota badan untuk membela diri dan membalas serangan musuh. Pelajarannya merangkumi Senaman Anak Harimau, kaedah elakan dan pukulan serta tangkapan bagi menewaskan lawan tanpa menggunakan senjata.

Pelajaran Seni Tapak Gayong pula ialah permainan pentas atau kaedah membuka buah kuncian serta teknik membuat serangan balas yang lebih halus dan berbahaya. Dalam lain perkataan, ia merupakan perincian pelajaran Tapak Gayong dan dikenali juga Pecahan Tapak Gayong.

 

Peringkat kedua dinamakan Seni Gayong. Pada tahap ini, murid Gayong mula diajar cara menggunakan senjata tradisional Melayu. Manakala mereka yang terpilih pula akan diajar cara beramal dengan ilmu kebatinan. Ilmu kebatinan ialah ilmu kerohanian, dimana amalannya merupakan bacaan ayat-ayat suci

Al-Quran dan doa-doa tertentu. Tahap keyakinan dan pengabdian diri kepada Allah secar total amat diperlukan beserta pengetahuan agama yang betul. Ini adalah untuk memastikan segala amalan yang dilakukan tidak terseleweng dan sentiasa menepati kehendak syara'.

 

Dalam pelajaran Silat Seni Gayong, konsepnya ialah selagi ada gerak, selagi itulah ada Gayong. Sukatan matapelajaran boleh ditamatkan tetapi ilmu Silat Seni Gayong tiada pengakhirannya.

 

Semakin tinggi tahap kebolehan seseorang murid, maka semakin banyak pelajaran Silat Seni Gayong yang dapat dipecahkan tanpa mengubah keaslian silat itu sendiri. Permainan Silat Seni Gayong adalah hidup. Hanya mereka yang telah menjiwai Gayong (Ga, Alif, Ya, Wau, Nga) sahaja yang dapat memahami hakikat Silat Seni Gayong.

 

 

SUSUNAN PELAJARAN

1. Tapak Gayong

2. Seni Tapak Gayong

3. Seni Keris (keris, pisau, kapak dan seumpamanya)

4. Seni Simbat (tongkat, simbat suk, parang panjang dan lembing)

5. Seni Yoi (pergerakan lincah dan pantas bagi memperdaya dam mengelirukan musuh yang disertai

dengan pukulan dan serangan maut)

6. Seni Belian (ilmu kebatinan dan pelajaran tapak harimau berlawan dan mengoyak mangsa)

7. Seni Cendai (kain tudung, kain sarung, rantai, tali dan seumpamanya)

 

 

CORAK LATIHAN

Latihan Silat Seni Gayong dibahagikan kepada beberapa sesi seperti:

1. Senaman Gerak Anak Harimau

2. Ulangkaji pelajaran

3. Latihan kemahiran

4. Pelajaran baru

5. Senaman Anak Harimau

6. Serangan bebas

7. Sesi perbincangan dan nasihat

 
< Prev   Next >
GelanggangDatoMeor.com