Gayong di Selangor PDF Print E-mail
Written by admin   
Saturday, 04 April 2009

 

 

 ada awal tahun 1960-an(sekitar tahun 1963), Tony Razman(bintang filem) bersama-sama Harun telah pergi ke Singapura untuk menemui Mahaguru Meor Abdul Rahman. Mereka telah memohon kepada Meor Abdul Rahman agar memperturunkan pelajaran Gayong kepada sekumpulan murid di Selangor. Mahaguru Meor Abdul Rahman telah memperkenankan permintaan mereka. Dengan menaiki sebuah kereta, Mahaguru Meor Abdul Rahman pun bergerak naik ke Selangor dari Singapura. Ketika Mahaguru Meor Abdul Rahman sedang mengajar silat di Chow Kit, datang beberapa orang samseng yang diketuai oleh Mat Lodeh bersama-sama dengan Hasyim Teksi dan beberapa orang rakannya yang lain. Mat Lodeh lalu memperkenalkan diri mereka,

"Cikgu, kami semua ni guru silat. Saya Mat Lodeh. Ni Hashim Teksi..."

Lalu dijawab oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman,

"Kalau nak cerita pasal silat, baik engkau lima orang balik..."

Apabila menyedari gertakan mereka tidak berhasil, maka samseng-samseng tersebut pun berlalu dari situ. Tidak berapa lama kemudian, tiba sebuah lori yang dipenuhi dengan samseng-samseng lain. Begitu pun, Mahaguru Meor Abdul Rahman tidak berganjak dari tempatnya. Dengan bersenjatakan kapak, Mahaguru Meor Abdul Rahman telah memberi amaran kepada samseng-samseng tersebut,

"Balik!!!Sebelum aku mengamuk..."

Menyedari amukan Mahaguru Meor Abdul Rahman boleh mengakibatkan banyak kemalangan jiwa, maka samseng-samseng tersebut sekali lagi terpaksa berlalu pergi. Beberapa hari kemudian, datang pula beberapa orang ketua samseng menemui Mahaguru Meor Abdul Rahman. Samseng-samseng tersebut dengan lagaknya memberitahu Mahaguru Meor Abdul Rahman bahawa mereka boleh menumbangkan gajah dengan tumbukan mereka. Lalu dijawab oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman,

"Hah! Marilah tumbuk Meor Rahman pula..."

Apabila terasa diri mereka diperkecilkan, samseng-samseng tersebut tanpa berfikir panjang terus menyerang Mahaguru Meor Abdul Rahman. Serangan-serangan daripada samseng-samseng tersebut mudah sahaja dipatahkan oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman. Akhirnya, samseng-samseng tersebut mengaku kalah dan meminta maaf kepada beliau. Samseng-samseng tersebut telah meminta untuk menjadi murid Mahaguru Meor Abdul Rahman pula.

Berita kehebatan Mahaguru Meor Abdul Rahman menumbangkan kepala samseng di Kuala Lumpur telah tersebar dengan cepat. Tidak lama kemudian, Mohd.Razali Salleh(kemudian menjadi Setiausaha PSSGM) telah tiba di tempat kejadian dengan menaiki motosikal jenis Lambretta. Roda motosikalnya hampir-hampir tercabut kerana dipandu dengan laju. Mohd.Razali telah memohon kepada Mahaguru Meor Abdul Rahman untuk menjadi murid Silat Seni Gayong.

Apabila Mohd.Razali Salleh memasuki Gayong, Silat Seni Gayong telah dikembangkan di Selangor melalui persatuan belia. Dewan Belia Kampung Pandan menjadi pusat latihan terawal di Selangor, manakala gelanggang Gayong terawal terletak di Kampung Baru, iaitu di belakang rumah Mohd.Razali Salleh. Di Selangor, Gayong dikembangkan secara mengadakan demonstrasi silat. Beberapa demonstrasi silat telah diadakan di Kampung Pandan, Damansara(di hadapan adinda Sultan Selangor), di Dewan Belia Kampung Pandan(di hadapan Datin Paduka Aisyah Ghani, yang juga menjadi ahli Gayong). Apabila Mohd. Razali Salleh mengambil alih jawatan Setiausaha Agung PSSGM dari En.Hussein(Kedah), pejabat Gayong telah dipindahkan ke Dewan Belia Kampung Pandan, iaitu pada tahun 1969. 

 
< Prev   Next >
GelanggangDatoMeor.com